31/07/2014

"Demikian tadi lagu dendangan kumpulan Jinbara yang bertajuk Cinta Pantai Merdeka. Pasti menggamit kenangan untuk sesiapa yang pernah bercinta di Pantai Merdeka"

"Hari ini hari Selasa, 16 November 2014. Jam menunjukkan pukul 1.35 pagi. Anda kini bersama DJ Cah di segmen Hati ke Hati. Hubungi DJ Cah sekiranya anda ingin meluahkan isi hati yang terbuku di sanubari. Ringankan beban di hati anda, curahkan segala isi hati. Percayalah, ianya akan membantu anda menjadi lebih tabah"

"Ok, kita bersama pemanggil seterusnya. Hello, siapa di sana?"

"Assalamualaikum DJ Cah"

"Waalaikumussalam. Ya, siapa di sana, dari mana?"

"Saya Sam dari Sentul. Apa khabar DJ Cah?"

"Alhamdulillah. Sihat. Ada apa-apa yang Sam ingin luahkan? Yang kita boleh kita kongsikan  bersama?"

"Ceritanya mcm ni DJ cah. Segan la saya nak cerita sebenarnya. Saya rasa saya dah jatuh cinta la DJ Cah"

"Itu satu perkara yang baik. Sebagai manusia normal, semua orang pernah jatuh cinta"

"Tapi tula kak Cah, saya sebelum ni pernah jatuh cinta, tapi tak pernah jatuh cinta macam ni"

"Ok, Sam, teruskan, kak Cah sedang mendengar"

"Saya ni kerja biasa-biasa je kak Cah"

"Apa nama kerja biasa-biasa tu Sam? Kerja kak Cah ni pun biasa-biasa juga. Hehe"

"Saya kerja di Big Apple Plaza Low Yat. Yang jual donut tu"

"Ok, Sam teruskan"

"Sejak sebulan ni, ada la satu awek ni kak Cah, die selalu beli donut kt kedai saya. Entah la kak Cah, sejak kali pertama saya tengok dia, hati saya rasa semacam. Berdegup semacam je"

"Orangnya macam mana Sam?"

"Orangnya rendah sikit, tinggi paras telinga saya, kulit cerah, bertudung dan berbaju kurung. Selalu die datang kedai saya mesti berbaju kurung. Tapi mungkin la kak cah, saya jatuh cinta pada muka dan senyuman die. Sampai angau saya dibuatnya"

"Bak kata pepatah, makan tak kenyang, mandi tak basah la ni?"

"Lebih kurang macam tulah kak cah. Memang asyik terbayang je ni"

"Sam tau nama dia?"

"Tak tau la kak Cah. Segan pulak nak tanya"

"Kalau la dia dengar perbualan kita ni Sam ok tak?"

"Uish, tula risau jugak. Segan pun ada kak cah"

"Apa la nak segannya Sam. Tak salah pun untuk cintai seseorang tu kan? Lagipun Sam tak mintak pun untuk jatuh  cinta dengan dia kan? Kadang-kadang cinta itu datang tanpa dipinta. Mana la tau dia lah jodoh Sam kan? Siapa tau kan?"

"Betul tu kak cah. Bukannya apa, saya segan je. Saya ni belajar setakat SPM je. Kerja pun biasa-biasa je kak cah"

"Jodoh itu kan ketentuan Allah Sam. Dalam agama kita pun xde cakap syarat untuk berkahwin itu degree atau SPM kan? Jangan risau Sam, insyAllah kalau ada jodoh tak ke mana ok?"

"Ok kak Cah. Terima kasih sebab sudi mendengar. Assalammualaikum"

"Waalaikumussalam"

********************************

"Hari ini kita sudah memasuki minggu terakhir bulan November tahun 2014. Pantas betul masa berlalu kan? Lagi sebulan sudah memasuki tahun 2015. Bagaimana dengan azam anda pada tahun ini? Adakah sudah tercapai atau pun carry foward tahun depan? Ok, kita bersama pemanggil seterusnya. Hello, siapa bercakap?"

"Assalammualaikum kak cah, saya Sam yang telefon minggu lepas. Ingat lagi tak?"

"Waalaikumussalam Sam. Ingat, kak cah ingat lagi. Yang keje dekat Big Apple tu kan? Ada perkembangan baru menarik yang nak diceritakan di sini?"

"Tak ada apa la menarik sgt kak cah. Cuma saya dah tau dah awek yang saya minat tu keje mana siapa nama dia. Hehe"

"Wah, pantas betul. Macam mana Sam boleh tahu ni? Ada pasang spy ke?"

"Takde la kak, hari masa balik keje, dia datang kat kedai, dia pakai ID pass die. Nama dia Hanisah. Dia kerja kat CIMB"

"Eceh, sempat lagi tu. CIMB mana?"

"Tula pasal, setahu saya tak banyak CIMB kat situ. Paling besar pun kt Wisma Genting. Esoknya masa rehat saya pergi ke CIMB Wisma Genting, sekali memang betul die kerja situ"

"Pandai la Sam ni, dah macam detektif dah ni. So lepas tu Sam buat apa? Tak pergi tegur?"

"Hari tu segan la saya nk tegur dgn uniform kerja kak. Tapi esoknya hariny saya pergi bank tu dengan baju lain. Nampak ok sket. Sbnrnya gaji saya masuk akaun lain. Tapi saya saja je bukak akaun kat situ. Kebetulan hari tu dia jaga kaunter"

"Dia perasan Sam tak?"

"Perasan kot. Mula-mula die mcm pelik gak sebab saya senyum-senyum kat dia. Lepas tu baru die perasan. Mungkin sebab saya tak pakai uniform kot"

"Kira nampak hensem la haritu"

"Tak ada la kak cah. Saya ni hensem tak la, tapi manis tu ada la sket. Haha"

"So skang macam mana? Rasa hepi ke, berdebar ke, malu ke. Apa plan Sam pasni?"

"Tula, saya takdak plan lagi. Takkan nak bukak akaun hari-hari kan? Cuma skang ni saya nk tau status die je. Awek orang ka, isteri orang ka, single lagi ka. Lepas tu baru senang nk buat keputusan nk proceed ke tak?"

"Takpe, Sam cuba fikir-fikirkan. Mesti ada cara. Tak pun nanti masa die beli donut cuba2 la tanya ya?"

"Oh ye, bila kak cah cakap pasal beli donut, baru saya teringat, selalu dia akan beli 4 ketul donut dan semua donut tu jenis lain2. Tapi saya memang dah hafal dia beli yang mana"

"Apa yang Sam dapat simpulkan di situ?"

"Ok ni yg saya fikirkan, empat ketul donut utk seorang perempuan agak banyak jugak tu. So saya rasa dia makan dengan orang lain. Takpun die simpan jela dalam peti sejuk. Saya tak tahulah die makan dengan siapa, tapi instinct saya mengatakan dia ni belum kahwen lagi. Dari segi gaya la saya tengok"

"Makin menarik cerita Sam ni. Apa-apa pun, Sam cube la berbual sket dengan dia dan cuba cari jawapan kepada persoalan status dia ya. Ok Sam, ada apa-apa lagi?"

"Ok, setakat ni, itu jelah kak cah. Nanti kalau ada perkembangan saya akan telefon lagi. Assalammualaikum kak cah"

"Waalaikumussalam"

*****************************

"Apa khabar pendengar semua. Walau dimana sahaja anda berada, diharapakan anda sihat dan gembira selalu. Kita teruskan segmen Hati ke Hati dengan pemanggil seterusnya. Hello, siapa di sana?"

"Assalammualaikum kak cah, saya Sam yang bekerja di Big Apple"

"Waalaikumussalam Sam. Apa khabar? Mesti ada cerita menarik hari ni kan? Kak cah dengar ceria je suara Sam hari ni. Cer citer cer citer"

"Macam tau-tau je kak cah ni.  Ok, memang ada berita menggembirakan sikit semalam. Hehe. Semalam macam Hanisah datang kedai. Entah la kak cah, sejak saya bukak akan kat CIMB hari tu, saya rasa kami macam dah mula ada connection"

"Connection macam mana tu Sam?"

"Entah la kak cah, macam die dah mula kenal saya. Dah tak rasa stranger macam dulu.  Sekarang ni kalau dia datang kedai, die dah x payah tunjuk mana donut yang dia nak. Cuma cakap 'macam biasa' je. Saya terus amik. Ada sekali tu kak cah, saya MC sebab demam. Esoknye membe saya cakap, awek yg slalu datang tu tanya saya pergi mana"

"Tahniah Sam, kak cah tumpang gembira dengar cerita Sam ni. Seronok tak sekarang?"

"Tipu la Kak Cah kalau saya cakap saya tak seronok kan? Tapi ada part best lagi Kak Cah. Semalam die datang, skang ni kan musim hujan, die bawak payung. Pastu entah macam mana plak die bleh tertinggal payung die. Kebetulan pulak masa tu hari dah gelap, saya rasa jap lagi mesti die patah balik ni. Boleh sembang lagi dengan dia. Tapi dia x muncul2. Mungkin die sempat kot naik monorel"

"So payung tu ada lagi Sam simpan?"

"Petang tadi die datang amik. Tapi die tak beli pape. Nak die katanya. Saya cakap nak diet apanya. Badan dah slim mcm tu nk diet ape lagi"

"Ala biasa la perempuan Sam. Risau kalo badan naik. Takut harga turun. Hehe"

"Saya x kisah pn die beli ke tak. Yang penting saya dapat tengok die"

"Rasanya dah sampai masanya Sam ajak die keluar. Mulakan langkah pertama. Mana la tau sebenarnya dia tengah tunggu Sam mulakan ke. Almaklumlah, perempuan kan pemalu"

"Tapi risau la kak Cah. Macam mana kalau die reject? Lepas ni mesti jadi awkward. Silap2 die dah tak datang beli beli donut lagi"

"Ok, macam nilah, kalau Sam tak berani nak berterus terang, cuba lah dengan cara berkias dulu. Senang je, cuba google. Ada beribu cara sebenarnya boleh dipraktikkan. Cuba la cari cara yang paling selamat tapi mesej tu jelas. Sekarang ni kan semua maklumat di hujung jari"

"Betul jugak tu kak Cah. Kenapa saya tak terfikir sebelum ni. Ok, nanti saya google. Thanx ye kak cah"

"Ok Sam, nanti pape perkembangan janga  lupa kongsi kt kak Cah tau"

***************************************************************

"Ada banyak perkara di dunia ni yang membahagiakan kita. Yang memberikan perasaan yang sgt indah, tidak terlafaz oleh kata-kata. Salah satunya ialah mencintai dan dicintai oleh oleh yang kita cintai. Masiha kah anda ingat kali pertama anda jatuh cinta? Sangat indah bukan? Ok, kita bersama pemanggil seterusnya, hello, siapa di sana?"

"Assalammualaikum kak Cah. Sam ni"

"Waalaikumussalam. Sam! Dah lama tak telefon. Ni mesti ada cerita gembira ni sampai lama tak telefon. Kak Cah pasti ramai pendengar ingin mengetahui perkmbangan cinta Sam ni. Dah macam realiti TV pulak kan?

"Entah la kak Cah. Tapi berita baik tu memang takde la kak Cah. Nak kata berita buruk pun tak jugak"

"Kenapa Sam, apa yang berlaku?"

"Sebenarnya dah dua minggu Hanisah tak datang ke kedai saya. Masuk minggu ni dah 3 minggu. Saya tak tau dia pergi mana. Langsung takde khabar. Nak trace pn tak tau. Takkan la nak tanya kt CIMB tu. Segan plak saya."

"Ea, lamanya 3 minggu. Mana la agaknya die pergi kan? Takkan die dah berhenti kerja kot?"

"Tula Cah. Betul la bak kata pepatah, bila angau ni makan tak kenyang, mandi tak basah. Macam lagu Anuar Zain, sehari ku rasa bagaikan setahun. Sekarang baru saya tahu rasanya bila diseksa rindu kak Cah. Saya tak pernah alami perasaan ni sebelum ni"

"Harap bersabar ye Sam. Mmg seksa rasanya dibelenggu rindu ni. Andai kata dia dah tukar kerja, at least ucap la selamat tinggal ke ape kan?"

"Takde la kak Cah. Siapa la saya ni, bukan boyfriend dia pun. Tapi saya tak rasa die dah berhenti. Sebab gambar die masih ada kat bank tu. Mungkin die amik cuti panjang atau dia sakit kot. Entah la kak Cah, selagi saya tak tahu apa yang berlaku kat dia"

"Haral dapat bersabar ye Sam. Berdoa la semoga takde apa2 yang buruk berlaku pada dia. Mudahan2 semoga suatu hari nanti dia muncul semula. Kalau ada jodoh tak ke mana Sam"

"Hmm tula jelah kot yang saya nak share kali ni kak Cah. Walau di mana pun dia berada, saya harap die sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera. Terima Kasih dan Assalammualaikum kak Cah"

******************************************************

"Apa khabar semua? Semoga anda semua sihat sejahtera. Tak lupa juga kepada pasangan2 pengantin yang telah melangsungkan perkahwinan bulan lepas. Kak Cah pasti ada antara anda yang sudah berbulan madu. Pastinya banyak kenangan romantis dicipta kan? Semoga berbahagia dan kekal ke akhir hayat. Ok, kita bersama pemanggil seterusnya, hello siapa di sana?"

"Assalammualaikum kak Cah. Sam ni"

"Waalaikumussalam. Apa khabar Sam? Sihat? Ada perkembangan terbaru?"

"Ada kak Cah. Ada yang baik, ada yang buruk. Ok yang kak Cah nk dengar dulu?"

"Eh, mcm tu pulak. Ok, kita dengar yang baik dulu"

"Ok, berita baiknya saya dah jumpa semula Hanisah"

"Oh yeke ni? Akhirnya kan. So apa yang buruknya?"

"Yang buruknya ni panjang sikit ceritanya. Ok, baru2 ni abang saya ajak saya main futsal kt sports planet Ampang. Selalu saya malas nk join sebab die ajak lepas balik keje. Badan letih. Malas la nak main. Tapi entah kenapa hari tu tiba2 pulak saya tergerak nak ikut. Masa saya tengah main futsal, datang ada satu lelaki. Die bawak awek die skali. Macam tak percaya je kak, awek Hanisah...."

"Owh, Hanisah dah ada boyfriend."

"Tp tula kak Cah, rupanya Hanisah tu lebih drpd girlfriend. Sbnrnya lelaki tu suami die. Diorang baru kahwin 3 minggu lepas. Saya tengok jari dia masih merah berinai..."

"Jari berinai tak semestinya dia dah berkahwin. Sure die dah kahwin?"

"Memanh dah kahwin kak Cah sebab suami dia ofismate abang saya. Bila balik rumah abang saya tunjukkan kad kahwin tu. Memang betul nama dia Hanisah"

"So Hanisah kenal Sam tak?"

"Rasanya die kenal. Sebb kadang2 die sempat menjeling dan tersenyum. Tapi nk tegur tak berani pulak. Kang marah pulak suami dia. Tapi lepas tu terus saya takde mood nak main futsal. Lepas game pun, saya tak joim diorang g minum. Saya tak dapat terima semua ni. Berlaku sangat pantas dan mengejutkan....."

"Takpelah Sam, harap bersabar dan terima semua ni sebagai suratan takdir. Anggap jela takde jodoh ye. Pasti ada yang lain yang lebih baik utk Sam"

"Nampaknya macam tulah endingnya. Apa pun, ada la beberapa perkara yang aaya dapat belajar drpd peristiwa ni. So, ini kali terkahir saya telefon kak Cah. Terima kasih kepada Kak Cah kerana sudi mendengar dan terima kasih kepada pendengar semua. Ada yang sanggup datang ke Big Apple di Plaza Lowyat utk berkenalan dengan Sam. Terima Kasih semua. Assalamualaikum......." tut tut tut..

"Nampaknya talian sudah diputuskan. Kak Cah faham perasaan Sam. Hati mana tidak luluh bila melihat orang yang kita cintai sudah menjadi milik orang. Lebih2 lagi di saat cinta baru hendak berputik. Walau di mana pun Sam berada, semoga Sam tabah dan jangan berputus asa. Kadang2, dalam hidup ni, kita akan sengaja ditemukan dengan beberapa orang yang salah sebelum kita berjumpa dengan orang yang betul. Supaya kita dapat belajar dan bersedia bila kita berjumpa dengan orang yang betul......."

***************************************************************
Sebaik sahaja pintu monorel dibuka, penumpang di dalamnya menyerbu keluar seperti memulakan larian marathon yang hadiahnya mencecah mencecah ribuan ringgit. Ada beberapa penumpang di luar mengambil kesempatan untuk mencelah masuk di sebalik celah-celah ruang kosong aliran penumpang keluar.

"Isy, tak sabar-sabar. Tak boleh tunggu ke orang habis keluar ke?" Getus wanita tersebut dalam hati. Berseluar jeans straight cut bewarna biru gelap, dipadankan dengan kemeja putih serta cardigan coklat cair. Tudungnya pula bewarna campuran seperti aiskrim Paddle Pop. Langkahnya diteruskan ke laluan Touch n Go. Sejurus menuruni tangga ke simpang empat Bukit Bintang, dia melihat jam di tangannya,

"Awal lagi ni"

Temujanji yang dirancang bersama beberapa rakan lamanya di Starbucks Pavillion akan bermula pada pukul 4 petang. Sekarang baru pukul 3 petang. Memang sengaja dia datang awal. Ada tempat yang ingin dituju terlebih dahulu. Lagipun memang tabiat dia sejak kecil untuk datang awal supaya lebih relaks dan tak kelam kabut. Cermin mata  Gucci yang berbingkai hitam dan berlensa perang gelap dikeluarkan dari tas tangannnya dan terus dikenakan ke wajahnya yang agak bujur sirih. Wanita tersebut terus melangkah menuju ke destinasinya yang terletak tidak sampai 1km daripada stesen Bukit Bintang.

"Ok, bagi saya yang warna coklat tu dua, yang warna pink tu satu. Errr yang ni flavor capucino ye? Ok, satu. Yang warna putih tu satu. Satu lagi amik yang ada topping kacang tu" arah wanita tersebut. Nama setiap donut ada di pamerkan. Cuma dia malas untuk menyebutnya. Lagipun dia bukan selalu membeli Donut dari Big Apples. Ini boleh dikira kali ketiga.

Pelayan gadis yang bekerja part time memandang seketika wanita tersebut sebelum mula mengambil donut tersebut dan memasukkannya ke dalam kotak.

"Ada apa-apa lagi?" Soal gadis tersebut sambil tersenyum.

"Takde. Dah cukup" balas wanita tersebut.

Setelah membayar, wanita tersebut bertanya,

"Adik, Sam keje tak ari ni?"

"Err die dah berhenti la kak. Baru je berhenti Khamis aritu"

"Oh yeke, baru ingat nk tengok orang die macam mana"

"Tula kak, ada la jugak beberapa orang tanya pasal die. Femes die sejak kisah cinta dia kuar kat radio aritu."

"Dia kerja mana skang?"

"Dia dapat masuk tentera darat. Esok die kena melaporkan diri kat kem mana ntah. PD kalo tak silap. Tapi kak, nama sebenar dia bukan Sam. Nama sebenar dia Razman. Masa dia kerja dulu, die tak bagi kitorang bocorkan rahsia ni. Kalo tak nanti abes la orang serbu dia. Even,awek CIMB tu pn tak tau sape Sam. Dia pun tanya kitorang. Sbb dia tak nampak pn staff pakai name tag Sam" jelas gadis itu panjang lebar.

"Owh yeke. Macam tu pulak. Tulah, baru ingt nk jumpa. Xpelah, takde rezeki" balas wanita tu pula sambil mengambil plastik yang berisi kotak donut.

"Eh kejap, akak ni DJ Cah kan?"

Wanita tersebut memandang gadis pekerja itu, tersenyum dan terus berlalu....

0 comments:

Post a Comment

Dah baca tu, komen la sikit. Hehe

Random Post

Popular Posts

My Blog List

Followers